feed it tracks

For Order and Inquiries

Tuesday, July 14, 2009

Coretan Sastera: Persisma Idealisma dan Delima


Kipas usang bilik tersebut berputar dengan bising. Habuk berterbangan merata-rata. Bau hapak dan berdebu menusuk hidung Salman. Pastinya, sudah lama benar bilik ini tidak digunakan. Salman melangkah lemah menuju ke meja yang berada di tengah-tengah bilik, lalu duduk di atas kerusi plastik yang dilapisi debu dan habuk yang tebal.

Hampir lima minit, Salman memeriksa jam tangan lapuk warisan bapanya, sebelum seorang lelaki berbadan tegap bermisai kontot, barangkali lingkungan awal 40an, memasukki bilik tersebut dan mengambil tempat di hadapan Salman.

"Assalamualaikum," ucap Misai Kontot.

"Waalaikumussalam."

"Bagaimana rutin harian kau hari ini?" Kau, relaks, tidak perlu formal, seperti rakan sebaya. Misai Kontot melakar bentuk 'perbincangan' mereka hari ini. Ada pegawai yang akan berbahasa formal, ada yang berbahasa kolokial, ada yang menggunakan dialek. Masing-masing mempunyai motif mereka sendiri untuk belaku sedemikian.

Salman ketawa kecil. "Mengapa pula kau hendak tanyakan pada aku? Bukankah rakan-rakan kau di tempat ini yang mengarang rutin harianku? Kau berkata-kata seolah-olah pendapat aku ada nilai pada orang-orang seperti engkau."

Misai Kontot sudah bersedia dengan respons Salman. Gaya Salman yang yakin tidak mengganggu rancangannya. Sudah bertahun-tahun dia bekerja di Pusat Tahanan Perlindungan dan bertemu dengan pelbagai ragam tahanan.

"Ah, kau pesimis. Terlalu pesimis. Kehadiranku di sini sebenarnya memang untuk menduga pendapat dan pandangan engkau." Buku 555 kecil bewarna kuning luntur diletak di atas meja. "Salman, engkau meminati sastera?"

"Sastera?" tanya kembali Salman. "Ada juga aku cuba membacanya. Sastera tempatan, sastera Indonesia mahupun sastera antarabangsa. Namun mungkin daya intelekku agak terhad, kerana aku jarang dapat menghabiskan buku-buku sastera yang bersepah di rumah. Bapaku minat karya Achdiat Kartamihardja, Shahnon Ahmad, namun aku mendapatinya sukar untuk ditafsir dan dibaca. Aku bercita-cita membaca karya-karya Albert Camus, Jean Paul Sartre dan Goethe,
namun belum berjaya."

"Jadi sastera klasik pun bukan menarik minat kau?" Misai Kontot mengeluarkan sekotak Malboro berisi separuh berkedut seribu dan dinyalakan sebatang rokok yang terus disumbat kedalam mulutnya. Dengan berisyarat, Salman ditawarkan juga peluang menikmatinya, tetapi
Salman menolak.

"Tahulah aku sedikit sebanyak. Namun belum pernah rasanya aku habis membaca hikayat-hikayat klasik di dalam bentuk aslinya."

"Apa-apa pun," kata Misai Kontot, "Pasti kau sudah tahu pertarungan lagenda Hang Jebat dan Hang Tuah?"

Sememangnya Salman menduga soalan itu akan timbul. Pengalaman-pengalaman mangsa yang lepas, termasuk apa yang digarap oleh Rehman Rashid di dalam A Malaysian Journey mendedahkan bagaimana psikologi dan pemikiran para tahanan dinilai dari respons mereka mengenai dua tokoh lagenda Melayu klasik tersebut. Salman mengangguk.

"Jadi, antara Jebat dan Tuah, siapa yang engkau fikir betul? Adakah engkau peminat Jebat atau Tuah?"

Mungkin dengan gaya seorang filosuf, Salman menggaru-garu beberapa helai janggutnya, sebelum bersuara.

"Aku tidak merasakan Tuah betul, kerana dia seorang apparatchik Melayu yang stereotaip, kesetiaannya kepada Sultan mengatasi perasaannya terhadap ketidakadilan terhadap dirinya sendiri, mengatasi semangat setiakawannya dan imannya. Dia tidak punya pendirian, cuma tahu menjadi boneka mainan raja yang setia menurut perintah dengan menololkan dan menghaprakkan dirinya."

"Engkau idealis…" kata-kata Misai Kontot dipotong oleh Salman.

"Nanti dahulu, aku belum habis menyuarakan pendapatku. Tidak pula aku menyokong Jebat membuta tuli. Dia merampas gundik-gundik Sultan yang dijadikan wanita memuaskan nafsu dirinya pula. Matlamatnya murni, caranya silap. Mungkin tindak-tanduk Tuah dan Jebat mempengaruhi Nicolo Machiavelli untuk mengarang The Prince atau kelakuan Otto Van Bismark dengan ideal realpolitiknya, yang menjadi kiblat pemerintah-pemerintah hari ini."

Misai Kontot tersenyum sinis. "Jadi engkau mengambil jalan tengah? Engkau tidak punya pendirian mengenai isu ini, sedangkan kau bersemangat benar mengkritik segala-galanya."

"Simpatiku ada pada Jebat. Tindak- tanduknya adalah anti-thesis kepada budaya bangsa Melayu waktu itu, yang terlalu menekankan kesetiaan buta kepada pemerintah. Aku kagum keberaniannya, aku berkongsi perasaannya. Tetapi di dalam konteks aku, aku melihat tindak-tandukku harus dilatarkan kepada kerangka imanku, kerangka pendirianku. Aku tidak sanggup
membunuh untuk merealisasikan matlamatku."

"Jika begitu pandangan engkau," Misai Kontot mengembuskan asap tebal ke ruang diantara Salman dengannya. "Mengapa kau sanggup mempertaruhkan masa hadapan kau untuk terlibat di dalam aktiviti subversif? Kau sepatutnya tumpukan perhatian kepada pelajaran, suarakan pendapat menerusi saluran-saluran establishment, bukan melibatkan diri di dalam tindak-tanduk anti kerajaan."

Salman ketawa berdehak-dehak. Ketawanya makin menjadi-jadi hingga matanya berair kerana terlalu kuat ketawa. Misai Kontot mencebik muka dan hendak mengherdik Salman apabila Salman tiba- tiba bersuara sekali lagi. "Kau tahu, aku sedih dan kelakar. Sedih dan kelakar kerana punya orang-orang berfikiran sempit menggerakkan jentera negara. Orang berfikiran sempit yang kononnya berkhidmat untuk rakyat."

"Bukan berfikiran sempit," bantah Misai Kontot. "Tetapi realis. Aku bukannya merasakan tindak tanduk pihak pemerintah seratus peratus betul, namun aku sedar perubahan hanya dapat dilakukan dari dalam. Aku tidak sanggup mempertaruhkan kesatuan bangsa, keselamatan negara dan kestabilan politik untuk menegakkan pendirianku."

"Dan pada masa sama melacurkan keadilan dan kebenaran rakyat?" Salman bertanya dengan penuh semangat.

"Aku tidak nafikan, mungkin ada sedikit- sebanyak ketidakadilan di negara kita. Tetapi kosnya sedikit jika dibandingkan dengan dasar-dasar progresif dan berwawasan yang dilakari pihak pemerintah. Kau mahu menyalak bising mengenai seorang dua individu yang menjadi mangsa sistem, sedangkan masyarakat keseluruhannya mendapat manfaat yang banyak. Kita tidak dapat memuaskan hati semua, Salman. Jangan engkau terus dibuai mimpi-mimpi kosong tersebut, negara utopia dimana semua dasar dapat diterima rakyat adalah negara mustahil didirikan."

"Kau tersilap, aku bukan idealis buta yang tidak berpijak pada realiti. Aku tidak bermimpi! Aku tahu tentang kenyataan! Individu penting. Sanggupkah engkau menjadi individu yang menjadi korban sistem tersebut? Tidak bukan? Masyarakat dibina dari unit-unit individu. Tiada sesiapa wajar menjadi mangsa sistem!"

Misai Kontot menumbuk meja sehingga mengejutkan Salman. "Engkau bodoh! Apa yang engkau tahu? Kau lahir di dalam keluarga kelas pertengahan, yang lahir hasil dasar-dasar pemerintah. Kau dari golongan borjuis, dan engkau mendabik dada tentang perjuangan. Aku dari keluarga susah, bapaku peneroka di ladang Felda, dan aku tahu apa erti kesusahan. Sudah banyak kali aku bertemu orang-orang seperti engkau - borjuis, mewah, muda dan idealistik. Konon membela rakyat, sedangkan orang-orang poseur seperti engkau tidak tahu apa itu erti menjadi rakyat marhaen seperti aku! Idealisme, perjuangan -semua itu untuk golongan-golongan haprak yang mudah lupa seperti engkau. Aku mengerti akan jasa-jasa pemerintah, aku tahu bersyukur!"

Meskipun sedikit terkejut dengan gaya Misai Kontot yang sudah berapi-api, Salman tetap bersuara. "Ya, aku borjuis. Tetapi ramai rakan-rakanku, yang juga idealistik, yang juga mempunyai tassawur seperti diriku, yang berasal dari desa, dari marhaen. Ya, keluarga kau mendapat manfaat dasar-dasar pro-marhaen dan pro-desa yang dipraktikkan tahun-tahun 70-an dahulu. Ketika itu negara kita, meskipun tidak sempurna, menghormati undang-undang. Keluhuran perlembagaan dipegang kukuh.Tetapi bagaimana kini? Betapa banyaknya tanah-tanah Felda menjadi habuan buat pemodal-pemodal bangsat yang merompak peneroka-peneroka? Betapa begitu ramai penoreh-penoreh getah di estet-estet menerima upah yang sangat menyedihkan,dan tinggal di dalam keadaan yang cukup memalukan? Mana erti wawasan yang engkau warwarkan? Cuba lihat betapa banyak kaum pribumi di Sabah dan Sarawak yang hilang warisan mereka, yang hilang tempat pergantungan mereka kerana dasar-dasar pemerintah yang engkau pertahankan itu. Aku melihat jauh melangkaui propaganda-propaganda murahan kerajaan. Kini era persejagatan, rakyat semakin ramai akan bertanya. Dan semakin ramai rakyat bertanya, semakin desperado taktik pemerintah demi survival mereka. Orang-orang seperti aku - mahasiswa yang kerdil, turut ditakuti! Dan syukurku aku simpan pada Ilahi. Ya, aku berterima kasih kepada pemerintah atas jasa-jasa mereka, tetapi terima kasih bukan ertinya aku buta!"

"Ah, buang masa aku dengan engkau!" Misai Kontot mendengus kebengangan. Beliau memicit rokok yang masih berasap di atas meja kayu usang dan bangun meninggalkan kamar tersebut. Mukanya merah padam, marah dan malu. Egonya tercabar. Beliau telah menahan tokoh-tokoh ugama, politikus-politikus berpengalaman dan aktivis-aktivis yang sudah berumur, namun belum yang begitu bersemangat bertekak dengannya sebagaimana Salman. Inilah ancaman
mahasiswa, fikirnya sendiri. Mereka mungkin muda, kurang pengalaman; namun begitu bersemangat, idealistik. Tetapi mahasiswa-mahasiswa sebelum ini semuanya lemah longlai apabila diserang secara psikologi. Dia memikirkan pendekatan untuk meneutralkan Salman. Bukankah pada akhir hikayat Hang Tuah,Jebat dibunuh jua?

Example Qoutation Harry Labu..Click to see it

Goodies